Kita semua jelas dengan mengambil terlalu banyak makanan berlemak atau gula akan menyebabkan meningkatnya kadar obesiti. Anda mungkin tanpa sedar mengamalkan tabiat di bawah ini yang menyebabkan bertambahnya berat badan tanpa anda sedari.
Tabiat ini mungkin dianggap remeh, tetapi inilah faktor yang menaikkan berat badan anda. Menangani kebiasaan ini boleh membantu anda mengawal berat badan tanpa memudaratkan diri.
Antara kebiasaan yang harus diperhatikan ialah:
1. Tidak Merancang Pemakanan

Rancang perbelanjaan membeli bahan makanan yang sihat lebih awal. Jika masa membeli hanya apabila lapar, ia menyukarkan untuk membuat keputusan. Apa yang difikirkan semasa lapar tidak sama dengan berfikir semasa tidak lapar. Contohnya, ketika lapar anda mungkin lebih berminat dengan makanan segera berbanding buah-buahan.
Untuk mengelakkan situasi ini, perancangan awal penting untuk hidangan anda. Anda boleh membeli makanan seperti bijirin dan buah-buahan untuk disimpan di rumah anda. Ini dapat membantu anda mendapatkan sumber makanan yang lebih sihat apabila dalam keadaan lapar.
2. Melangkau Waktu Makan

Melangkau waktu makan seolah-olah membantu anda untuk menurunkan berat badan kerana akan mengurangkan jumlah pengambila kalori pada hari itu. Akan tetapi, cara ini sebenarnya lebih membuatkan berat badan bertambah.
Ini disebabkan kadar metabolisma akan menurun apabila anda melangkaui waktu makan, membuatkan proses pembakaran kalori semakin panjang. Anda juga akan berasa lebih lapar dari biasa dan makan dengan banyak ketika waktu makan yang seterusnya.
3. Makan Ketika Bosan
Adalah mudah untuk mengambil makanan ringan ketika anda menonton televisyen. Tetapi kajian mendapati anda akan mengambil makanan 5 ke 10x ganda lebih dari. Apa perlu anda lakukan adalah mengambil awal bahagian makanan sebelum menonton TV dan elakkan menambah bahagian makanan yang telah diambil.
4. Menggunakan Pinggan Bersaiz Besar

Adakah saiz pinggan makan mempengaruhi pengambilan makanan? Jawapannya, ya. Tanpa sedar kita membuat keputusan berapa banyak makanan diambil dengan melihat perbandingan makanan dengan saiz pinggan. Lebih besar saiz pinggan, lebih besar kuantiti makanan yang diambil.
Tetapi, jika saiz pinggan kecil, anda akan cepat merasakan bahawa anda mengambil banyak makanan walaupun kuantiti bahagian itu biasa.
5. Tidak Mengambil Berat Jenis Minuman Yang Diambil

Minuman manis seperti minuman berkarbonat tidak mengenyangkan lama selain memberi gula. Di dalam segelas air manis juga terdapat kalori yang menambahkan jumlah pengambilan kalori harian seterusnya menambah berat badan jika minum terlalu kerap.
Sebagai pilihan, anda boleh memilih minuman teh atau kopi kurang manis yang rendah nilai kalorinya.
6. Tidak Cukup Waktu Tidur

Tidak mendapat tidur yang cukup akan meningkatkan hormon dipanggil kortisol yang menghadkan kemampuan tubuh untuk memproses gula melalui insulin. Gula yang berlebihan itu akan ditukar menjadi lemak.
Akan tetapi, dari segi psikologi dan tabiat kebiasaan manusia apabila kurang tidur, seseorang itu akan cenderung untuk membuat keputusan yang kurang tepat. Seperti apabila badan anda letih, anda lebih cenderung untuk menempah apa sahaja makanan segera berbanding memasak makanan yang sihat di rumah.
Jika anda mempunyai masalah untuk tidur, anda mungkin berminat untuk mengetahui Tips Untuk Mudah Tidur di sini.
Kesimpulannya, sekali pandang tabiat di atas adalah biasa, tetapi sedar atau tidak, ia boleh meningkatkan kalori harian dan menambahkan berat badan dalam jangka masa yang panjang.
Kongsi Artikel:





