Jom Semak! – 8 Tanda Penting Menunjukkan Badan Anda Kurang Air

Mengekalkan hidrasi dalam badan mempunyai kesan yang besar kerana 70% daripada badan manusia terdiri daripada air.

Jika anda mengalami tanda-tanda di bawah, adalah penting untuk anda menambah jumlah pengambilan air seharian. Antara tanda tubuh seseorang kekurangan air adalah:

1. Bibir Kering

Bibir yang kering adalah tanda yang paling jelas menunjukkan badan kekurangan air. Apabila kurang air, kulit bibir akan mula merekah. Menyapu pelembap bibir hanyalah langkah penyelesaian sementara sahaja.

Air putih yang diminum akan menjadi pelincir kepada mulut dan melegakan tekak seterusnya melembapkan mulut melalui air liur.

2. Kulit Menjadi Kering

Kulit adalah organ manusia yang paling besar. Sangat penting untuk kekal segar kerana jika kulit terus dibiarkan kering, akan mendatangkan masalah kulit yang lebih buruk di kemudian hari.

Kekurangan air akan mengurangkan pengeluaran peluh. Ini akan mengurangkan keberkesanan fungsi peluh untuk menyingkirkan kotoran dan toksin yang berkumpul pada kulit.

Jika anda ingin mengelakkan dari timbulnya jerawat, langkah pertama adalah dengan mengambil air putih yang cukup.

3. Mengalami Sakit Sendi

Tulang dan tulang rawan belakang terdiri daripada 80% cecair. Jadi sangat penting untuk memastikan badan mendapat air yang cukup untuk mengekalkan tulang dalam keadaan optimum.

4. Rasa Sangat Dahaga

Minuman manis seperti minuman perisa boleh mengurangkan dahaga tetapi tidak hanya dalam tempoh sekejap sahaja. Kita disarankan untuk minum 8 gelas air putih sehari untuk memastikan badan menghidrat dengan baik dan membawa oksigen yang mencukupi ke otak.

5. Mengurangkan Jisim Otot

Kebanyakan kandungan dalam otot manusia adalah air. Kekurangan air akan mengurangkan jisim otot. Minum air sebelum, semasa dan selepas bersenam bukan sahaja menghidratkan badan, tetapi mengelakkan kesakitan disebabkan oleh senaman dan angkat berat. 

6. Rasa Letih Dan Lesu

Apabila badan kekurangan air, ia akan mengambil khasiat dari cecair dari bahagian lain dalam badan untuk ia berfungsi. Ini menyebabkan kandungan oksigen menjadi rendah disebabkan oleh pengambilan air tadi yang mengakibatkan rasa cepat mengantuk dan letih.

7. Masalah Percernaan

Air juga memberi kesan secara langsung kepada sistem pencernaan. Kurang air akan menyebabkan jumlah lendiran dalam perut menjadi kurang. Ini akan mengakibatkan asid dalam perut menjadi pekat dan merosakkan dinding perut. Jika ini berlaku, ia akan membawa kepada sakit seperti pedih ulu hati, ulser perut dan masalah pencernaan.

8. Mengalami Penuaan Pra-Matang

Jumlah air yang tersimpan di dalam badan akan berkurangan seiring dengan peningkatan usia. Ini bermaksud, semakin meningkat usia, semakin banyak air yang perlu diambil oleh badan kita.

Jika penuaan pra-matang terjadi di bahagian luar badan, ia juga dialami oleh bahagian di dalam badan juga. Jadi dengan mengambil jumlah air yang cukup, ia boleh membantu mengurangkan risiko penuaan pra-matang ini.

Awas! – 7 Kebiasaan Ini Boleh Menyebabkan Berat Badan Anda Bertambah

Kita semua jelas dengan mengambil terlalu banyak makanan berlemak atau gula akan menyebabkan meningkatnya kadar obesiti. Anda mungkin tanpa sedar mengamalkan tabiat di bawah ini yang menyebabkan bertambahnya berat badan tanpa anda sedari.

Tabiat ini mungkin dianggap remeh, tetapi inilah faktor yang menaikkan berat badan anda. Menangani kebiasaan ini boleh membantu anda mengawal berat badan tanpa memudaratkan diri.

Antara kebiasaan yang harus diperhatikan ialah:

1. Tidak Merancang Pemakanan

 

Rancang perbelanjaan membeli bahan makanan yang sihat lebih awal. Jika masa membeli hanya apabila lapar, ia menyukarkan untuk membuat keputusan. Apa yang difikirkan semasa lapar tidak sama dengan berfikir semasa tidak lapar. Contohnya, ketika lapar anda mungkin lebih berminat dengan makanan segera berbanding buah-buahan.

Untuk mengelakkan situasi ini, perancangan awal penting untuk hidangan anda. Anda boleh membeli makanan seperti bijirin dan buah-buahan untuk disimpan di rumah anda. Ini dapat membantu anda mendapatkan sumber makanan yang lebih sihat apabila dalam keadaan lapar.

2. Melangkau Waktu Makan

Melangkau waktu makan seolah-olah membantu anda untuk menurunkan berat badan kerana akan mengurangkan jumlah pengambila kalori pada hari itu. Akan tetapi, cara ini sebenarnya lebih membuatkan berat badan bertambah.

Ini disebabkan kadar metabolisma akan menurun apabila anda melangkaui waktu makan, membuatkan proses pembakaran kalori semakin panjang. Anda juga akan berasa lebih lapar dari biasa dan makan dengan banyak ketika waktu makan yang seterusnya.

3. Makan Ketika Bosan

Adalah mudah untuk mengambil makanan ringan ketika anda menonton televisyen. Tetapi kajian mendapati anda akan mengambil makanan 5 ke 10x ganda lebih dari. Apa perlu anda lakukan adalah mengambil awal bahagian makanan sebelum menonton TV dan elakkan menambah bahagian makanan yang telah diambil.

4. Menggunakan Pinggan Bersaiz Besar

Adakah saiz pinggan makan mempengaruhi pengambilan makanan? Jawapannya, ya. Tanpa sedar kita membuat keputusan berapa banyak makanan diambil dengan melihat perbandingan makanan dengan saiz pinggan. Lebih besar saiz pinggan, lebih besar kuantiti makanan yang diambil.

Tetapi, jika saiz pinggan kecil, anda akan cepat merasakan bahawa anda mengambil banyak makanan walaupun kuantiti bahagian itu biasa.

5. Tidak Mengambil Berat Jenis Minuman Yang Diambil

Minuman manis seperti minuman berkarbonat tidak mengenyangkan lama selain memberi gula. Di dalam segelas air manis juga terdapat kalori yang menambahkan jumlah pengambilan kalori harian seterusnya menambah berat badan jika minum terlalu kerap.

Sebagai pilihan, anda boleh memilih minuman teh atau kopi kurang manis yang rendah nilai kalorinya.

6. Tidak Cukup Waktu Tidur

Tidak mendapat tidur yang cukup akan meningkatkan hormon dipanggil kortisol yang menghadkan kemampuan tubuh untuk memproses gula melalui insulin. Gula yang berlebihan itu akan ditukar menjadi lemak.

Akan tetapi, dari segi psikologi dan tabiat kebiasaan manusia apabila kurang tidur, seseorang itu akan cenderung untuk membuat keputusan yang kurang tepat. Seperti apabila badan anda letih, anda lebih cenderung untuk menempah apa sahaja makanan segera berbanding memasak makanan yang sihat di rumah.

Jika anda mempunyai masalah untuk tidur, anda mungkin berminat untuk mengetahui Tips Untuk Mudah Tidur di sini.

Kesimpulannya, sekali pandang tabiat di atas adalah biasa, tetapi sedar atau tidak, ia boleh meningkatkan kalori harian dan menambahkan berat badan dalam jangka masa yang panjang.

Ramai Tidak Tahu – Ini 5 Khasiat Kulit Kayu Manis Yang Baik Untuk Kesihatan

Kulit kayu manis adalah salah satu herba yang digunakan dalam masakan. Ini kerana rasa dan bau aromanya yang wangi dan unik selalunya menjadi antara herba yang utama dalam masakan sup, kari, kurma, dan sebagainya.

Disebabkan ia adalah salah satu bahan mentah dalam masakan yang mudah didapati, ramai yang tidak sedar bahawa bahan ini mempunyai banyak khasiat yang boleh memberi kebaikan pada kesihatan kita.

Kajian mendapati kulit kayu manis mempunyai kelebihan yang banyak, malah banyak petua menggunakan kulit kayu manis untuk pelbagai tujuan kesihatan.

Antara khasiat kulit kayu manis adalah:

1. Baik Untuk Jantung

Kulit kayu manis mempunyai kandungan serat dan kalsium yang mengejutkan yang baik untuk kesihatan jantung. Serbuk kulit kayu manis mengandungi 4g fiber dan 78mg calsium untuk setiap satu sudu kecil.

Fungsi serat dan kalsium ini adalah membantu menyingkirkan garam hempedu. Garam hempedu boleh merosakkan sel usus yang menyebabkan kanser usus.

Apabila garam hempedu disingkirkan, sistem badan akan memusnahkan kolestrol untuk menghasilkan hempedu yang baru. Ini dapat membantu merendahkan tahap kolestrol sekaligus mengurangkan risiko penyakit jantung.

2. Melegakan Sakit Senggugut

Kajian pada tahun 2015 dibuat terhadap pelajar kolej Iran mendapati kulit kayu manis membantu mengurangkan rasa sakit senggugut dengan ketara.

Minyak kulit kayu manis (dicampur dengan minyak badam) juga boleh digunakan untuk mengurut dan melancarkan aliran darah.

3. Merangsang Pertumbuhan Rambut

Berita baik untuk mereka yang mengalami rambut gugur. Minyak kulit kayu manis boleh digunakan sebagai bahan urutan kulit kepala.

Minyak ini akan menyerap ke dalam kulit kepala dan merangsang pengaliran darah ke folikel rambut. Pengaliran darah sangat penting untuk pertumbuhan rambut yang sihat.

4. Melegakan Sakit Perut

Dalam perubatan tradisional Cina, kulit kayu manis digunakan sebagai bahan menghangatkan badan. Gabungan kulit kayu manis dan halia dibuat teh untuk melegakan kesakitan pada perut.

5. Membantu Pengaliran Darah Yang Baik

Kulit kayu manis juga bertindak sebagai herba yang “menghangatkan” dengan memperbaiki aliran darah dalam badan. Pengaliran darah yang baik sangat penting untuk kulit yang sihat.

Kulit kayu manis juga boleh diminum sebagai air teh untuk mengekalkan kulit yang sihat dan berseri. Jika anda seorang penggemar kopi, boleh cuba untuk menambah kulit kayu manis ke dalam kopi untuk menambah rasa aroma yang sedap.